3 Mei setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tujuan pengisytiharan ini adalah bagi menimbulkan kesedaran tentang pentingnya KEBEBASAN AKHBAR dan MENGINGATKAN KERAJAAN-KERAJAAN akan tugas mereka untuk menghormati dan mendukung hak KEBEBASAN BERSUARA seperti yang termaktub di bawah Artikel 19, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat ( http://ms.wikipedia.org/wiki/Hari_Kebebasan_Akhbar_Sedunia). Ingin Tikus tekankan disini adalah tentang tujuan Hari Kebebasan Akhar Sedunia: KEBEBASAN AKHBAR, MENGINGATKAN KERAJAAN-KERAJAAN dan KEBEBASAN BERSUARA. Ya, jika dilihat disini bukan sahaja merujuk kepada satu pihak kerajaan sahaja tapi merujuk kepada KERAJAAN-KERAJAAN.
Maju setapak..
Media massa kita pada masa kini telah maju setapak lagi tahun demi tahun. Pelbagai saluran dijadikan pilihan untuk menyampaikan berita mereka. Setiap saluran ini ada kelemahan dan kelebihannya. Namun sejauh mana kita mampu mempercayai dengan ketelusan setiap saluran media massa yang kita pilih. Teknologi yang begitu maju pada masa kini mampu melakukan segalanya melampui batas manusia. Video, muzik, berita, artikel, gambar dan sebagainya pada masa kini begitu mudah untuk disunting dengan menggunakan perisian yang sesuai. Namun harus kita ingat bahawa sebaik mana pun suntingan tersebut pasti akan ada kecacatannya.
Siapa yang menerima?
Kebergantungan media massa pada masa kini amatlah ditagih terutamanya bagi mereka yang tinggal dikawasan pedalaman. Saluran yang menjadi pilihan oleh mereka yang berada dikawasan pedalaman adalah Radio (itupun jika mampu dibeli). Mari kita akui bahawa corong-corong radio dinegara kita banyak dipengaruhi oleh sebelah pihak. Ya!Setiap stesen radio dinegara kita terletak dibawah kawalan Kementerian yang berkenaan begitu juga dengan stesen televisyen kita. Lantas ini yang telah mendorong kewujudan banyak laman sesawang yang ingin bersikap telus dan adil dalam menyampaikan berita malah ada stesen radio yang sanggup beroperasi diluar Negara supaya tidak dikekang oleh undang-undang Negara kita. Namun sejauh mana mereka yang berada dikawasan pedalam mempunyai pengetahuan dalam menggunakan laman sesawang atau adakah mereka mempunyai kemudahan internet?
Peranan Media Massa
Oleh itu peranan media massa amatlah ditagih untuk menyampai berita yang benar keseluruh pelusuk Negara. Dan pada tahun ini Tikus ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada media massa dinegara kita kerana terdapat perkembangan dalam berita yang mereka lapor atau sampaikan kepada penonton. Namun masih ada sesetengah media massa TAKUT untuk menyampaikan KEBENARAN oleh kerana “ORANG YANG DIBELAKANG TADBIR”. Takut akan periuk nasi diganggu mungkin lesen ditarik kembali atau pengharaman kepada media massa ini. Mengambil petikan kata dari filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang berjudul Nujum Pak Belalang, Allahyarham pernah berkata “sedangkan cacing dalam tanah boleh makan, inikan pula kita manusia”. Jadi seruan kepada media-media massa supaya jangan takut untuk melapor kepada kebenaran. Lebih banyak media massa yang melaporkan kebenaran, dengan begitu mudah media massa kita akan kembali mengambil hak kebebasan mereka.
Ketelusan atau Integriti..
Media massa Negara kita haruslah melaporkan sesuatu berita itu dengan telus tanpa berselindung. Namun ketelusan juga boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak yang mempunyai kuasa. Oleh itu integriti haruslah menjadi suatu kewajiban kepada setiap petugas-petugas media massa. Anda tahu apa yang benar namun anda tidak melaporkannya. Tindakan ini boleh diertikan sebagai tidak berintegriti. Jadi marilah kita bersama-sama memilih untuk mengamalkan integriti di dalam diri kita dalam melakukan tugas. Pilihlah untuk melawan arus berbanding mengikut arus. Kita tahu bahawa arus media massa kita banyak dipengaruhi. Jangan takut untuk melawan arus, semakin kita melawan arus semakin kita dapat melihat usaha dan titik peluh kita.
Dikesempatan ini Tikus ingin mengucapakan tahniah dan syabas kepada petugas-petugas media massa yang telah bertungkus lumus dalam menjalankan tugas anda sehingga ada yang sanggup mengambil risiko tanpa menghiraukan keselamatan dan nyawa mereka. Marilah kita bersama-sama menghargai petugas-petugas media massa dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka. Jika ada diantara keluarga atau rakan-rakan kita yang bertugas dalam media massa, railah mereka atas usaha mereka.Terima Kasih!
MEDIA MASSA BERINTEGRITI,NEGARA DIHORMATI
No comments:
Post a Comment