Sunday 30 December 2012

Coffee Break:Mengimbas Kembali

Tanpa kita sedari tahun 2012 semakin hamper tiba ke penghujungnya dan tinggal beberapa hari sahaja lagi 2013 akan mengetuk pintu kehidupan kita. Soalan yang seharusnya diajukan sebelum berakhirnya tahun 2012; ‘Bagaimanakah tahun 2012 anda?’. Mungkin ada diantara kita melalui pengalaman yang sukar dalam tahun 2012 dan tidak lupa juga kenangan yang indah. Tahun 2012 juga menjadi tahun yang terpenting bagi kaum Mayan yang mengatakan dunia akan berakhir. Namun apapun ramalan mereka ianya adalah sebahagian daripada adat dan kepercayaan yang telah diamalkan sejak dari zaman nenek moyang mereka. Bagi mereka ianya menandakan berakhirnya kalendar tahun mereka dan kita tidak seharusnya memperlekehkan apa yang mereka percaya. Sebaliknya kita seharusnya bersyukur kerana sehingga saat ini kita masih bernafas dan berpijak di bumi yang nyata.


2012:Warna…
Tahun 2012 juga penuh dengan peristiwa yang penting tidak kira ianya memberi kesan kepada kehidupan kita. Setiap dari peristiwa yang berlaku dalam tahun 2012 sedikit sebanyak mengubah kehidupan manusia di dunia pada masa akan datang. Mungkin sesetengah peristiwa itu menjadi kayu pengukur bagi kita meneruskan kehidupan ini. Bagi Tikus banyak pengalaman yang telah dilalui dan tidak kurang juga pengetahuan yang baru dipelajari. Melalui perjalanan yang jauh beribu batu mengajar Tikus tentang erti kesabaran dan melihat kehidupan manusia di dunia luar dari konteks penglihatan Tikus. Setiap tahun juga Tikus akan mengambil masa sendiri untuk mengimbas kembali apa yang telah Tikus lalui sepanjang 2012. Ianya membantu Tikus untuk melihat apa yang telah terlaksana dan yang belum terlaksana.


Anda…
Bagaimana pula dengan anda? Sudahkan anda mengambil masa untuk mengimbas kembali tahun 2012 anda? Harus diingat bahawa tujuan kita mengimbas kembali adalah untuk mempelajari sesuatu dan bukannya untuk menyesal serta menyalahkan diri sendiri. Mungkin ada diantara matlamat kita pada tahun 2012 belum lagi tercapai dan inilah masanya kita melihat kembali senarai kita. Yang manakah seharusnya kita bawa ke tahun 2013 dan menjadi keutamaan bagi kita?


P/S: Selamat Tahun Baru 2013

Sunday 9 December 2012

"Label Saya"

Udara yang segar ditambah pula dengan kedinginan embun pagi membuatkan Tikus terfikir adakah generasi akan datang berpeluang menikmati suasana pagi yang indah ini. Mudah bagi kita untuk mendapatkan suasana yang seindah ini jika kita tahu menghargainya. Dan ketika mendapat idea ini, Tikus baru saja kembali dari kem bersama rakan-rakan disebuah Pekan yang mengambil masa 1 jam setengah perjalanan dari kawasan tempat Tikus tinggal. Hujung minggu yang penuh dengan ketenangan dan berpeluang merasakan bagaimana tinggal ‘Farm House’. Sememangnya pengalaman yang indah.

Namun apa yang menarik perhatian Tikus selama disana adalah perbualan dengan seorang rakan. Melalui perbualan tersebut Tikus dapat membuat konklusi bahawa kita sememangnya mudah untuk “melabel” seseorang berdasarkan orang disekeliling mereka. Perbualan Tikus dengan seorang rakan berkisar tentang bagimana dia telah “dilabel” tanpa orang lain bertanya atau menyelidiki tentang kebenarannya. Rakan tersebut melontarkan persoalan mengapa kita mudsh untuk melabel tanpa terlebih dahulu bertanya kepada tuan punya badan yang akhirnya membuatkan tuan punya badan sedih. Mudah juga bagi kita “melabel” seseorang dengan sesuatu yang negatif.

Adakah kita dilahirkan untuk “melabel”? Seorang doktor sentiasa keluar makan bersama sekumpulan peguam, tidak bermakna dia adalah seorang peguam. Seorang lelaki berkawan rapat dengan seorang wanita, tidak bermakna mereka bercinta. Segelintir orang awam yang menimbulkan kekacauan semasa demonstrasi, tidak bermakna semua pendemonstrasi adalah perosak keamanan. Mungkin kerana pengaruh dari rakan atau apa yang kita dengar di ‘halaman’ rumah sendiri yang menjurus kepada kita menjadi “pelabel”. Kita tidak seharusnya “melabel” seseorang itu berdasarkan apa yang kita lihat ataupun dengar. Seharusnya kita mengambil iniatif untuk menyiasat atau mengambil jalan yang lebih mudah iaitu bertanya kepada tuan punya badan sendiri. Seperti kata pepatah inggeris “don’t judge the book by its cover".
                             When you judge another, you do not define them, you define yourself. (Wayne Dyer)

Sunday 2 December 2012

To Freedom Fighter

Jangan salah anggap dengan topik Tikus untuk kali ini;maksud Tikus ia tiada kaitan dengan saranan untuk berperang memperjuangkan kebebasan kerana Negara kita sememangnya telah bebas dari penjajah. Kebebasan dan perjuangan orang terdahulu janganlah kita lupakan. Mereka adalah ‘Freedom Fighter’ terdahulu yang sememangnya menjadi pencetus kepada kemerdekaan Negara kita. Masih ingatkah lagi kita Tunku Abdul Rahman, salah seorang dari antara mereka yang memperjuangkan kemerdekaan Negara kita. Dan masih ingatkah kita, tarikh kemerdekaan dan pembentukan Negara kita Malaysia? Tapi apa yang ingin Tikus kemukakan disini terutamanya pada era moden adalah apakah erti kebebasan dan siapakah ‘Freedom Fighter’ pada era ini?

Demokrasi-Demonstrasi

Demokrasikah Negara kita merupakan persoalan yang sering bermain di minda Tikus. Walaupun Negara kita mengamalkan sistem demokrasi namun pernahkah kita membuka pandangan dan fikiran kita dengan lebih meluas lagi? Sejauh manakah demokrasi Negara kita sehingga menjurus kepada Demonstrasi. Media yang hanya menyampaikan informasi sebelah pihak, demokrasikah Negara kita? Undang-undang digubal supaya golongan tertentu boleh mengekang atau mengawal pergerakan kita, demokrasikah Negara kita? Perlanggaran Hak Asasi Manusia oleh figura politik, demokrasikah Negara kita? Bila rakyat ‘Duduk dan Bantah’, ‘Berjalan dari Kuantan ke Dataran’ kerana hanya ingin menyatakan pandangan dan suara hati sebahagian rakyat  yang terasa dikhianati, mereka dikatakan seabagi pengkhianat Negara yang tidak mengenal erti bersyukur. Demokrasikah? Demonstrasi seharusnya menjadi pengukur kepada sesebuah kerajaan bahawa Demokrasi itu gagal sepenuhnya. Demonstrasi bukan bertujuan menimbulkan kekacauan namun ingin menyampaikan suatu mesej yang selama ini diabaikan kerajaan; ‘CUKUP SUDAH, DIMANA DEMOKRASI’.
 
Bukan Sekadar Jalanan
Mereka yang sanggup Duduk dan Bantah serta berjalan kaki dari Kuantan ke Dataran Merdeka meredah hujan dan panas adalah ‘Freedom Fighter’ pada era moden ini. Sebahagian daripada kita yanga merasakan Demokrasi dinegara kita semakin tercalar dan disalah guna adalah ‘Freedom Fighter’ pada era ini. Pelayar laman sosial yang sentiasa mengutarakan pandangan dan kritikan tentang sistem pemerintahan kita adalah ‘Freedom Fighter’ pada era ini. Namun Tikus berharap kita bukan sekadar menayangkan kehebatan dan kelantangan kita di jalanan tapi terjemahkan juga semasa Membuang Undi. Keputusan ditangan kita dan jangan biarkan perjuangan di jalanan itu sekadar dijalanan. Kita adalah ‘Freedom Fighter’ pada era ini dan mungkin agak keterlaluan gelaran itu namun kita jugalah ‘Pejuang Demokrasi’.
Us Against The World

Tikus teringatkan akan lirik lagu yang berbunyi ‘we would keep all our promises, be us against the world’. YA! Sesuai dengan lirik lagu ini yang Tikus menyatakan bahawa jangan takut untuk menbuat keputusan yang wajar kerana sebahagian rakyat Malaysia ada bersama kita. Seperti lirik lagu tersebut ‘be us against the world’, seperri itu jugalah kita supaya melawan arus dan terus berjuang untuk mencapai demokarsi dan Negara yang kita inginkan. Demokrasi itu bukan sesuatu yang kekal indah namun haruslah diperhalusi selalu. Demokrasi bukan sekadar PERKATAAN NAMUN PERBUATAN!