Sunday, 9 December 2012

"Label Saya"

Udara yang segar ditambah pula dengan kedinginan embun pagi membuatkan Tikus terfikir adakah generasi akan datang berpeluang menikmati suasana pagi yang indah ini. Mudah bagi kita untuk mendapatkan suasana yang seindah ini jika kita tahu menghargainya. Dan ketika mendapat idea ini, Tikus baru saja kembali dari kem bersama rakan-rakan disebuah Pekan yang mengambil masa 1 jam setengah perjalanan dari kawasan tempat Tikus tinggal. Hujung minggu yang penuh dengan ketenangan dan berpeluang merasakan bagaimana tinggal ‘Farm House’. Sememangnya pengalaman yang indah.

Namun apa yang menarik perhatian Tikus selama disana adalah perbualan dengan seorang rakan. Melalui perbualan tersebut Tikus dapat membuat konklusi bahawa kita sememangnya mudah untuk “melabel” seseorang berdasarkan orang disekeliling mereka. Perbualan Tikus dengan seorang rakan berkisar tentang bagimana dia telah “dilabel” tanpa orang lain bertanya atau menyelidiki tentang kebenarannya. Rakan tersebut melontarkan persoalan mengapa kita mudsh untuk melabel tanpa terlebih dahulu bertanya kepada tuan punya badan yang akhirnya membuatkan tuan punya badan sedih. Mudah juga bagi kita “melabel” seseorang dengan sesuatu yang negatif.

Adakah kita dilahirkan untuk “melabel”? Seorang doktor sentiasa keluar makan bersama sekumpulan peguam, tidak bermakna dia adalah seorang peguam. Seorang lelaki berkawan rapat dengan seorang wanita, tidak bermakna mereka bercinta. Segelintir orang awam yang menimbulkan kekacauan semasa demonstrasi, tidak bermakna semua pendemonstrasi adalah perosak keamanan. Mungkin kerana pengaruh dari rakan atau apa yang kita dengar di ‘halaman’ rumah sendiri yang menjurus kepada kita menjadi “pelabel”. Kita tidak seharusnya “melabel” seseorang itu berdasarkan apa yang kita lihat ataupun dengar. Seharusnya kita mengambil iniatif untuk menyiasat atau mengambil jalan yang lebih mudah iaitu bertanya kepada tuan punya badan sendiri. Seperti kata pepatah inggeris “don’t judge the book by its cover".
                             When you judge another, you do not define them, you define yourself. (Wayne Dyer)

No comments:

Post a Comment