Tikus ucapkan Selamat Hari Lahir yang ke 49 untuk Malaysia,
merujuk kepada Hari Malaysia yang kita sambut pada 16 September setiap tahun. Banyak
yang telah kita kecapi dan pelajari sebagai rakyat Malaysia selama 49 tahun perjalanan
kita Rakyat Malaysia membentuk sebuah negara seperti adanya pada hari ini. Bukan
hanya negara kita yang terus meningkat maju malahan pemikiran Rakyat Malaysia
juga semakin terbuka seiring dengan pembangunan negara. Pemikiran yang lebih
matang disulami kebijaksanaan namun berlandaskan norma kehidupan selaras dengan
pegangan Rukun Negara setia kita amalkan. Tikus boleh katakan inilah keunikan
yang kita miliki yang menjadikan kita, Rakyat Malaysia intipati untuk membentuk
sebuah negara yang beridentitikan Malaysia.
Ingatlah Sejarah…
Bermula segalanya dari “Cobold Comission” yang mengunju ke arah kemerdekaan Sarawak-22 Julai 1963, Sabah-31 Ogos 1963 dan Singapura
(kemudian diusir) yang akhirnya MEMBENTUK BERSAMA sebuah negara yang dinamakan Malaysia.
Pembentukan bersama inilah yang telah menjadi kayu pengukur kepada negara Malaysia
pada zaman tersebut, samada sesebuah negara ini mampu untuk berdikari dan
membangun. Tikus boleh katakan disini bahawa Tikus bangga sebagai Rakyat Malaysia
kerana kita telah membuktikannya selama 49 tahun bahawa kita mampu berdiri
sendiri. Sejarah sebegini harus kita ingati untuk menjadi pengajaran kepada
generasi muda seperti kita.
Pembinaan “Tembok”…
Namun dalam kita meniti 49 tahun yang penuh cabaran, dalam
masa yang sama setiap daripada kita terus membina “Tembok” Disebalik Laut China
Selatan tanpa kita sedari. “Tembok” yang kita, Rakyat Malaysia sendiri yang
bina-“Tembok Prejudis”. Sudahlah Laut China Selatan memisahkan Semenanjung
Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, ditambah pula dengan prejudis yang kita
lemparkan terhadap satu sama lain yang akhirnya mengukuh dan meneguhkan lagi “Tembok”
tersebut. Apa “Tembok Prejudis” itu? Tikus boleh katakan setiap pandangan negatif
yang kita keluarkan terhadap satu sama lain yang bukan membina adalah “Tembok”
tersebut. Kewujudan kumpulan anti-anti di Facebook, kenyataan yang menyinggung
perasaan Rakyat Malaysia tidak kira bangsa, penghinaan terhadap agama di Malaysia,
fakta yang kurang bernas tanpa penyelidikan, kritikan terhadap kemunduran
sesebuah kaum dan sebagainya. Ini adalah antara prejudis yang kita lemparkan
tanpa kita sedari akhirnya membina sebuah “Tembok” yang utuh yang dikenali “Tembok
Prejudis”.
Sudah Cukup Sudah…
Ya! Lagu Nirwana band, ~sudah cukup cukup sudah, cukup
sampai disini saja…~.CUKUP SUDAH SEGALA isu yang kurang membina yang kita
bangkitkan, CUKUP SUDAH SEGALA tuduhan yang kita lemparkan, CUKUP SUDAH SEGALA
penghinaan yang kita hamburkan, CUKUP SUDAH SEGALA pandangan serong yang kita
sendiri bina. CUKUP SUDAH! Sudah tiba masanya kita Rakyat Malaysia bersatu dan
menghayati erti Hari Malaysia itu yang sebenar. Singkirkan segala prejudis yang
berada di kotak fikiran kita yang akhirnya akan membawa kepada keruntuhan “Tembok
Prejudis” itu. Ingatlah bahawa sesebuah negara itu tidak akan dikategori sebagai
negara tanpa adanya penghuni. Dan setiap daripada kita adalah identiti yang
membentuk negara Malaysia. Apa yang kita Rakyat Malaysia ingin lihat suatu hari
nanti bukanlah “Tembok Disebalik Laut China Selatan” tetapi “Jambatan” yang
menghubungkan kita merentasi Laut China Selatan. “Jambatan” yang dibina
berdasarkan “tiang-tiang” saling mengasihi, keamanan, perpaduan, saling
menghormati, kesepakatan dan kebenaran.
No comments:
Post a Comment